Wednesday 21 December 2011

Tetralogi Lembu (Bahagian Akhir)

LEMBU EMPAT 
‘ Teori Evolusi: Manusia Sebenarnya Lembu’  


Dalam entri-entri yang lepas kita membincangkan perihal lembu dan perkaitannya dengan manusia. Hubungan yang erat di antara lembu dan manusia sememangnya tidak boleh dinafikan lagi. 


 Dalam bahagian dua iaitu Lembu-lembu Al-Quran, kita telah didedahkan mengenai kisah tiga orang nabi yang mana dikaitkan dengan lembu di dalam Al-Quran. 

Dalam bahagian tiga pula iaitu S u s u , kita dapat melihat dengan jelas hubungan rapat di antara manusia dan lembu dari aspek susu. 

Manakala, bahagian empat iaitu Manusia + Lembu = Manumbu, kita dapati segenlintir manusia mempunyai nafsu syahwat terhadap lembu hinggakan mereka sanggup merogol lembu.

Persoalannya sekarang, adakah hubungan rapat yang telah dibincangkan dalam entri-entri lepas dapat dirumuskan bahawa manusia sebenarnya lembu? Adakah manusia berasal dari lembu?



Untuk mendapatkan jawapannya, sila rujuk entri di bawah..

Monday 19 December 2011

Tetralogi Lembu (Bahagian 4)

LEMBU TIGA 
‘ Manusia + Lembu = Manumbu’  

Hubungan akrab antara manusia dan lembu sememangnya tidak dapat disangkal lagi. Lembu adalah keperluan yang penting bagi manusia. Sebelum ini kita telah membincangkan mengenai peranan lembu terhadap manusia termasuk membekalkan susu, daging dan sebagainya. 

Namun, adakah hubungan akrab tersebut bisa menjerumuskan manusia dan lembu hingga ke hubungan ranjang? Adakah manusia mempunyai kehendak seksual terhadap lembu? Adakah lembu rasa tergoda dan tergugat apabila melihat manusia? Kita telah dikejutkan dengan pelbagai insiden melibatkan hubungan seksualiti di antara manusia dan lembu.


Kes Pertama 

Pada awal 2010, kita telah digemparkan dengan dakwaan kononnya seekor lembu telah dirogol oleh seorang lelaki di salah sebuah daerah di Terengganu. Pemilik lembu tersebut mengambil keputusan drastik dengan membunuh lembu tersebut. Adakah tindakan tuan lembu tersebut wajar dan selaras dengan perintah agama?

Tiada sebarang nas-nas Al-Quran mahupun hadis yang mengharamkan pembunuhan lembu yang dirogol oleh manusia. Namun, terdapat beberapa pendapat telah diijtihadkan oleh ulama’-ulama’ berkaitan isu ini.

            Pendapat pertama    : Haiwan yang dirogol oleh manusia hukumnya sunat dibunuh.
            Pendapat kedua        : Daging haiwan yang dirogol oleh manusia haram dimakan.
            Pendapat ketiga        : Daging haiwan yang dirogol oleh manusia makruh dimakan.



Kes Kedua 

Beberapa akhbar tempatan telah melaporkan satu upacara keagamaan telah diadakan di salah sebuah perkampungan di Bali, Indonesia. Sekumpulan penduduk kampung telah membawa seekor lembu betina untuk dicampakkan ke tengah laut. 

Lembu tersebut telah dirogol oleh seorang lelaki tua. Menurut kepercayaan turun-temurun masyarakat disitu, dosa lelaki tua itu akan terhapus sekiranya lembu itu dibuang ke laut.

Kes Ketiga 

Beberapa laman sesawang dan blog melaporkan kejadian aneh berlaku mengisahkan seekor lembu jantan cuba merogol seorang nenek tua.
Apakah motif sebenar tindakan lembu tersebut? Adakah lembu tersebut mempunyai nafsu terhadap nenek tua itu? 

Tindakan tersebut mungkin boleh diterima oleh akal memandang lembu diciptakan tanpa mempunyai akal. Tetapi, sekiranya manusia yang mempunyai akal cuba melakukan perbuatan yang sama, tidakkah manusia tersebut lebih teruk dari lembu?

Sunday 18 December 2011

Tetralogi Lembu (Bahagian 3)

LEMBU DUA 
‘ S U S U ’   

Susu lembu sememangnya cukup sinonim dengan manusia. Sejak kecil lagi, manusia sudah biasa diberi minum susu lembu oleh ibu bapa mereka. Dalam Surah Al-Nahl ayat 66, Allah telah berfirman:

وَإِنَّ لَكُمْ فِى الأَنْعَامِ لَعِبرْةً نُسْقِيْكُم مِّمَا فِي بُطُوْنِهِ مِن بَيْنِ فَرْثٍ وَدَمٍ لَّبَنًا خَالِصًا سَآئِغًا لِّلشَّارِبِينَ
“Dan sesungguhnya pada binatang-binatang ternak itu, kamu beroleh pelajaran yang mendatangkan ikhtibar. Kami beri minum kepada kamu daripada apa yang terbit dari dalam perutnya, yang terhasil dari antara hampas makanan dengan darah iaitu susu yang bersih, yang  mudah diminum, lagi sedap rasanya bagi orang-orang yang meminumnya.”

Namun, baru-baru ini kita telah dikejutkan dengan satu berita mengenai seorang kanak lelaki di Kemboja yang bernama Tha Sophat. Budak tersebut telah  menghisap susu secara langsung dari tetek lembu sejak melihat seekor anak lembu melakukan perkara yang sama.


Tha Sophat yang berusia 20 bulan mula menyusu lembu selepas ibu bapa budak itu meninggalkan kampung di luar bandar untuk mencari pekerjaan.

Datuknya, Um Oeung berkata beliau menarik budak lelaki itu pada mulanya. Namun, beliau terpaksa mengalah selepas cucunya membantah dengan kuat dan kanak-kanak itu telah menyusu susu lembu sekali atau dua kali sehari sejak itu. Um Oeung berkata lembu itu tidak kisah budak itu menyusu, tetapi dia sendiri bimbang tentang kesihatan cucu beliau jika dia teruskannya.

Kejadian yang berlaku ke atas Tha Sophat mungkin masih boleh diterima oleh akal. Namun kita telah dikejutkan dengan satu kisah yang lebih menggemparkan iaitu seorang wanita telah menyusukan seekor anak lembu yang telah kematian ibunya. Peristiwa tersebut berlaku di India.
 
Adakah nilai-nilai kemanusiaan yang wujud dalam diri wanita itu akan mengalir dalam badan anak lembu tersebut?
(sumber internet)
...nantikan bahagian seterusnya


Tetralogi Lembu (Bahagian 2)

LEMBU SATU
‘ LEMBU-LEMBU AL-QURAN’

Peranan besar lembu dalam kehidupan manusia sememangnya tidak dapat dinafikan lagi. Malah, lembu merupakan antara haiwan yang paling kerap disebut dalam Al-Quran. Lebih menakjubkan apabila lembu turut dikaitkan dengan kisah tiga orang nabi sepertimana diceritakan oleh Allah S.W.T. di dalam Al-Quran.

1- Kisah Nabi Ibrahim dan Anak Lembu Panggang    

Dalam Surah Hud ayat 69 hingga 71, Allah telah menceritakan kepada kita tentang peristiwa yang berlaku ke atas nabi Ibrahim dan isteri baginda, Siti Sarah. Mereka telah didatangi oleh dua malaikat lalu mereka menghidangkan ‘seekor anak lembu panggang’ kepada dua malaikat tersebut.

69 - Dan sesungguhnya telah datang malaikat utusan-utusan kami kepada Nabi Ibrahim, dengan membawa berita yang mengembirakan. Lalu mereka memberi salam dengan berkata:
 “Salam sejahtera kepadamu (wahai Ibrahim).”Nabi Ibrahim menjawab: “Salam sejahtera kepada kamu.”
Lalu Ibrahim menghidang seekor anak lembu panggang kepada malaikat-malaikat itu.

70 - Apabila dia melihat tangan mereka tidak menyentuh hidangan itu, dia merasa pelik dan akan keadaan mereka. (Melihat kecemasannya) mereka berkata: “Janganlah engkau takut wahai Ibrahim, sebenarnya kami ini diutus kepada kaum Lut (untuk membinasakan mereka).”

71 - Dan isterinya (Sarah) pada ketika itu mendengar, lalu dia ketawa kerana hilang perasaan takutnya. Maka Kami pun memberikan berita yang mengembirakan kepadanya melalui malaikat itu, bahawa ia akan mendapat seorang anak iaitu Ishak, dan sesudah Ishak dia pula akan mendapat seorang cucu Yaakub. 


2- Kisah Nabi Yusuf dan Empat Belas Ekor Lembu 
  
Nabi Yusuf adalah merupakan antara nabi-nabi yang paling banyak diuji sepanjang hidup baginda. Kisah nabi Yusuf telah dimuatkan dalam Al-Quran bahkan meliputi kisahnya dari kecil hinggalah dewasa. Salah satu surah telah dinamakan sempena nama baginda iaitu ‘Surah Yusuf’.

Nabi Yusuf telah dikurniakan satu mukjizat yang cukup besar dalam hidup baginda iaitu kebolehan mentafsir mimpi. Pada suatu hari, Raja Mesir bermimpi melihat tujuh ekor lembu gemuk telah memakan tujuh ekor lembu kurus. 

Beliau menjadi bimbang memikirkan tentang petanda mimpi tersebut lalu memerintahkan pembesar-pembesarnya supaya mentafsir mimpi tersebut. Tiada seorang pun yang berkebolehan mentafsir mimpi, lalu salah seorang pembesar mencadangkan agar mimpi tersebut dirujuk kepada nabi Yusuf. Sebagaimana firman Allah dalam Surah Yusuf dari ayat 43 hingga 48.

43 - Dan pada suatu hari raja Mesir berkata: “Sesungguhnya aku mimpi melihat tujuh ekor lembu yang gemuk dimakan oleh tujuh ekor lembu yang kurus, dan aku melihat tujuh tangkai biji-bijian yang hijau dan tujuh tangkai lagi yang kering. Wahai ketua-ketua kaum yang hadir, terangkanlah kepadaku tentang mimpiku ini, kalau kamu orang yang pandai menafsirkan mimpi”.

44 - Mereka menjawab: “Yang demikian itu ialah mimpi-mimpi yang bercampur aduk, dan kami bukanlah orang-orang yang mengetahui mimpi-mimpi (yang sedemikian) itu”.

45 - Dan (pada saat itu) berkatalah orang yang terselamat di antara mereka yang berdua itu, dan yang baharu mengingati (akan pesanan Yusuf) sesudah berlalu suatu masa yang lanjut: “Aku akan memberi tahu kepada kamu tafsirannya. Oleh itu hantarkanlah daku pergi (kepada orang yang mengetahui tafsirannya)” .

46 - (Setelah ia berjumpa dengan Yusuf, berkatalah ia): “Yusuf, Wahai orang yang benar (pada segala-galanya)! tafsirkanlah kepada kami (seorang bermimpi melihat): tujuh ekor lembu yang gemuk dimakan oleh tujuh ekor lembu yang kurus; dan tujuh tangkai (biji-bijian) yang hijau serta tujuh tangkai lagi yang kering; (tafsirkanlah) supaya aku kembali kepada orang-orang yang mengutusku itu, semoga mereka dapat mengetahui tafsirannya”.

47 - Yusuf menjawab: “Hendaklah kamu menanam bersungguh-sungguh tujuh tahun berturut-turut, kemudian apa yang kamu ketam biarkanlah dia pada tangkai-tangkainya, kecuali sedikit dari bahagian yang kamu jadikan untuk makan. 

48 - Kemudian akan datang selepas tempoh itu, tujuh tahun kemarau yang dashyat, yang akan menghabiskan makanan yang kamu sediakan baginya; kecuali sedikit dari apa yang kamu simpan (untuk dijadikan benih). 

3- Kisah Nabi Musa dan Dua Lembu 

Nabi Musa telah diuji dengan dua perkara melibatkan lembu:

Pertama: Sebuah patung anak lembu yang dibuat dan disembah oleh kaumnya ketika baginda menemujanji dengan Tuhan selama empat puluh malam.
                              
Kedua: Nabi Musa telah menyampaikan perintah Tuhan supaya kaumnya mengorbankan seekor lembu bagi mendapatkan jawapan kepada misteri pembunuhan seorang lelaki. Kaumnya mengemukakan pertanyaan yang banyak mengenai lembu itu, tetapi akhirnya, setelah hampir tidak melakukannya, mereka mengorbankan seekor lembu yang tidak tua dan tidak juga dara, yang keemasan, terang warnanya, dan yang belum pernah dipakai untuk membajak bumi, atau untuk mengairi tanaman tetapi teguh, dengan tanpa sebarang tanda yang cacat padanya.

...nantikan bahagian 3

Tetralogi Lembu


Lembu merupakan haiwan yang sangat masyhur dan penting dalam kehidupan manusia di seluruh pelusuk dunia. Lembu tergolong dalam kategori haiwan ternakan yang mana dipelihara secara kecil-kecilan mahupun besar-besaran.

Kebiasaannya, lembu dijadikan alat pengangkutan memandangkan haiwan ini mempunyai tenaga dan kekuatan yang luar biasa untuk memikul beban. Dagingnya pula dimakan oleh manusia dan mengandungi protein yang tinggi namun jika dimakan berlebihan boleh mendatangkan banyak penyakit antaranya darah tinggi dan kenaikan haba dalam badan.

Entri ini akan membincangkan tentang beberapa topik berkaitan dengan lembu sebagai mengenang jasa-jasa yang telah disumbangkan oleh lembu kepada manusia. Bahkan, nama lembu terpahat dalam salah satu surah daripada surah-surah yang terkandung dalam Al-Quran iaitu Surah Al-Baqarah yang bermaksud ‘lembu betina’.

Definisi Tetralogi Lembu 

Apakah yang dimaksudkan dengan istilah 'Tetralogi Lembu'? 'Tetralogi Lembu' merupakan gabungan dua perkataan iaitu ‘tetralogi’ dan ‘lembu’.

1)      Tetralogi:
      Tetra – berasal dari bahasa Yunani yang bermaksud ‘empat’.
      Tetralogi – gabungan suatu karya yang terdiri daripada empat karya berbeza.

2)      Lembu:
      Haiwan berkaki empat, bertanduk dan berekor.
      Mamalia dan melahirkan anak.
      Bertulang belakang vertebrata.
      Tidak berakal.

Secara tuntasnya, ‘Tetralogi Lembu’ merupakan satu karya hasil gabungan empat kisah berkaitan lembu.

...nantikan bahagian 2


Tuesday 6 December 2011

Sistem Pendidikan Kita di Ambang Sakaratul Maut

Pendahuluan
Pendidikan merupakan proses berterusan yang diperlukan oleh setiap manusia yang bernyawa. Proses pendidikan bermula sejak manusia dilahirkan dan ibu bapa adalah pendidik pertama kepada anak-anak mereka sepertimana sabda Rasulullah SAW:


كل مولود يولد على الفطرة فأبواه يهودانه أو ينصرانه أو يمجسانه


Maksudnya: “Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah. Maka kedua ibu bapanyalah yang menjadikan dia Yahudi, Nasrani atau Majusi.” (Riwayat Al-Bukhari)


Namun, peningkatan usia anak-anak mendorong ibu bapa menghantar anak-anak mereka untuk mendapatkan pendidikan secara formal di sekolah. 


Guru-guru di sekolah merupakan ibu bapa kedua kepada anak-anak. Bahkan segala perkataan yang keluar dari mulut guru akan dipegang oleh anak-anak kerana bagi mereka guru adalah insan yang hebat.


Apabila melangkau ke usia belasan tahun, perangai dan sikap anak-anak tadi akan berubah dek transformasi mereka ke usia remaja. Dunia remaja adalah permulaan bagi manusia mengenal dunia. Pada usia ini, rakan-rakan sebaya merupakan insan paling berpengaruh dalam diri remaja.


Persoalannya sekarang, adalah perkembangan ilmu dan pengetahuan remaja seiring dengan perkembangan usia dan jasmani mereka?


Institusi Sekolah dan Peranan Guru
Institusi persekolahan merupakan institusi pendidikan formal yang berperanan mendidik pelajar-pelajar dengan ilmu pengetahuan dan membentuk jati diri pelajar dengan akhlak yang baik. Pembentukan jati diri dan akhlak yang seimbang mampu mengawal para pelajar dari terjerumus dan terjebak dengan anasir-anasir jahat di sekeliling mereka.


Sistem pendidikan disekolah diseragamkan dengan satu kurikulum yang di bentuk oleh Kementerian Pelajaran supaya semua pelajar mendapat hak pendidikan yang sama rata. 


Jika dilihat dengan mata kasar, sistem penyelerasan kurikulum ini merupakan langkah yang baik bagi mewujudkan integrasi antara pelajar, guru dan ibu bapa memandangkan Malaysia merupakan sebuah negara berbilang kaum.


Namun, jika diamati dengan mata halus, sistem pendidikan yang sedia ada di negara kita pada masa kini banyak menyumbang kepada keruntuhan intelektual dan pemikiran para pelajar khususnya dan masyarakat amnya. Terdapat banyak kepincangan dan kecelaruan yang berlaku dalam sistem pendidikan di negara ini dan hal ini sedikit sebanyak telah menyumbang kepada kejatuhan institusi keilmuan dan pendidikan.


Antara kepincangan yang ketara berlaku ialah pendidikan berorientasikan peperiksaan, kesempitan silibus subjek Pendidikan Islam di sekolah, teknologi dan internet sebagai medium untuk mendapatkan ilmu pengetahuan dan guru tidak terlatih.


Pendidikan Berorientasikan Peperiksaan
Pendidikan berorientasikan peperiksaan merupakan salah satu isu yang seringkali dibincangkan oleh ahli-ahli akademik mahupun organisasi yang prihatin dengan sistem pendidikan yang sedia ada di negara ini.


Sistem pendidikan di negara ini merupakan pendidikan acuan Barat memandangkan peranan besar mereka sebagai pelopor dalam membentuk sistem pendidikan yang teratur di negara ini sebelum mencapai kemerdekaan.


Jika dilihat dari sudut positif, sistem pendidikan berorientasikan peperiksaan merupakan pendekatan yang mampu mengekalkan disiplin ilmu. Melalui sistem ini, pelajar hanya ditekankan dengan pembelajaran dalam bilik darjah kerana semua benda akan disuap ke dalam mulut mereka oleh guru.


Buku teks dijadikan rujukan utama dan pelajar hanya diterapkan dengan kemahiran membaca tanpa melibatkan proses memikir. Soalan-soalan latihan yang terdapat dalam buku teks juga tidak sedikit pun tercicir daripada isi kandungan buku teks. Oleh itu, pelajar-pelajar tidak perlu memerah otak mereka untuk berfikir kerana mereka hanya perlu mencari jawapan yang terdapat dalam buku teks tersebut semata-mata.


Pengukurnya amat mudah, pelajar yang dapat menjawab paling banyak soalan dengan betul akan memperoleh skor tertinggi dan pelajar yang gagal memperoleh skor yang tinggi akan dianggap sebagai pelajar lemah.


Bahkan, perkara yang sama berlaku dalam peperiksaan umum yang diduduki oleh pelajar-pelajar. Misalnya, calon UPSR yang memperoleh 5A akan dianggap sebagai pelajar cemerlang. Begitu juga dengan dengan pelajar yang memperoleh keputusan 4A 1B. Tapi bagaimana pula dengan pelajar yang memperoleh keputusan 4A 1D?


Secara automatik, pelajar tersebut akan dilabel sebagai pelajar yang gagal. Tidakkah anda melihat sistem pendidikan berorientasikan peperiksaan ini satu sistem yang jumud dan perlu dihapuskan?


Kerajaan sepatutnya mewujudkan sistem pendidikan yang mampu menggalakkan pelajar berfikir secara rasional, kreatif dan kritis. Bukan bermaksud pelajar diberi kebebasan sepenuhnya untuk berfikir, sebaliknya kurikulum yang sedia ada patut diterapkan dengan material-material yang mampu mengajak pelajar supaya berfikir dengan kreatif dan kritis.


Sekiranya pelajar tidak dilatih dengan kemahiran berfikir, mereka akan selama-lamanya menjadi malas untuk berfikir dan hanya mengharapkan buah pemikiran orang lain. Sekiranya perkara ini tidak dibendung, tidak mustahillah rakyat Malaysia akan terus kekal sebagai rakyat yang bermentaliti kelas ketiga.


Kesempitan Silibus Subjek Pendidikan Islam di Sekolah
Malaysia merupakan sebuah negara Islam yang menjadikan ajaran Mazhab Syafie sebagai sebagai wadah rujukan rasmi dalam soal keagamaan terutamanya yang melibatkan hukum-hakam dan Fiqh. Disamping itu, ajaran Mazhab Syafie juga dijadikan sumber asasi dalam sukatan subjek Pendidikan Islam di sekolah.


Untuk kesan jangka pendek, penggunaan Mazhab Syafie sebagai sukatan subjek Pendidikan Islam di sekolah merupakan satu langkah baik iaitu supaya pelajar tidak terkeliru dengan hukum-hakam yang dipelajari dan mereka akan mendapat asas yang kukuh tentang pengetahuan ilmu agama.


Namun, untuk kesan jangka panjang, penggunaan Mazhab Syafie semata-mata dalam sukatan subjek Pendidikan Islam di sekolah akan  menyumbang kepada perpecahan belahan umat Islam di negara ini dek percanggahan pendapat berkaitan isu-isu agama.


Mungkin ada yang beranggapan, universiti merupakan tempat terbaik untuk mempelajari kepelbagaian mazhab yang terdapat dalam ajaran Islam. Namun, jika difikirkan secara logik, berapa peratuskan bilangan pelajar yang meneruskan pengajian di universiti dalam bidang agama berbanding pelajar-pelajar yang mengambil jurusan-jurusan di luar bidang keagamaan.


Hal ini menjadi semakin parah apabila wujud segelintir pihak yang gemar memurtad dan mengkafirkan orang-orang yang tidak sealiran pandangan dengan mereka. Adakah ini satu perkembangan positif yang patut digembirakan?


Puncanya hanya satu, Penggunaan Mazhab Syafie sebagai satu-satunya rujukan bagi subjek Pendidikan Islam di sekolah.


Teknologi dan Internet dalam Pendidikan
Di era teknologi yang serba canggih ini, penggunaan alat-alat teknologi seperti computer, internet, jalur lebar dan sebagainya sebagai wadah pendidikan semakin meluas. Perkembangan ini seiring dengan kehendak kemajuan negara yang memerlukan penambahbaikan sistem pendidikan sedia ada.


Sebut sajalah apa yang anda inginkan, semuanya akan diperolehi hanya di hujung jari. Namun, persoalannya sekarang, sejauhmanakah relevannya sumber-sumber dari internet dijadikan bahan rujukan ilmu utama bagi pelajar terutamanya pelajar-pelajar universiti?


Perkembangan teknologi internet merupakan satu anjakan yang sangat mengagumkan, namun cara manusia memanfaatkan kemudahan ini perlu dipersoal.


Antara gejala kurang sihat yang sangat serius berlaku dalam masyarakat pelajar pada hari ini ialah budaya ‘Copy’ dan ‘Paste’ bahan rujukan dari internet secara bulat-bulat untuk dijadikan bahan ilmu mahupun untuk menyiapkan tugasan yang diberikan oleh pensyarah.


Pengambilan bahan-bahan internet secara mentah tanpa mengesahkan terlebih dahulu kesahihannya merupakan salah satu faktor yang akan menyumbang kepada keruntuhan fakulti ilmu pengetahuan dan ketamadunan manusia.


Hal ini menjadi semakin parah apabila terdapat segelintir individu mahupun kumpulan yang gemar memuat-naik video-video berkaitan keagamaan di ‘YouTube’ dan video tersebut ditonton oleh segenap lapisan masyarakat. Tanpa kita sedar, mereka sebenarnya adalah orang-orang yang jahil yang cuba menjadikan agama sebagai batu loncatan untuk mengaut keuntungan.


Oleh itu, penggunaan internet sebagai medium pendidikan perlu diperhalusi agar kesucian ajaran Islam dapat dipelihara seterusnya kesucian fakulti ilmu pengetahuan dapat dikekalkan.


Guru-guru Tidak Terlatih
Guru tidak terlatih bermaksud guru-guru yang tidak mengikuti kursus atau bimbingan khas untuk subjek yang diajar olehnya di sekolah. Kebanyakan guru tidak terlatih ini terdiri dari graduan-graduan yang gagal mendapat pekerjaan setelah tamat pengajian dan menjadikan kerjaya guru sebagai pilihan terakhir. Jadi mereka memohon untuk mengisi jawatan kekosongan guru di sekolah-sekolah yang memerlukan.


Pihak sekolah akan menawarkan jawatan tersebut kepada sesiapa sahaja yang memohon tanpa mengambil kira latar belakang pendidikan dan pengetahuan asas bagi subjek yang akan diajar. Misalnya, seorang graduan jurusan kejuruteraan mungkin ditugaskan untuk mengajar subjek Pendidikan Islam atau pelajar lepasan STPM disuruh untuk mengajar subjek Matematik.


Lihatlah betapa pincangnya sistem pendidikan di negara ini dan jika tidak dibendung mungkin satu hari nanti warga Bangladesh yang bekerja di pam-pam minyak turut diterima sebagai guru tidak terlatih di negara ini. Mudah-mudahan perkara ini tidak akan berlaku.


Penutup
Sistem pendidikan merupakan asas kepada kemajuan sesebuah negara. Rakyat yang berilmu diukur melalui sejauhmana kemampuannya berfikir secara rasional, kreatif dan kritis. Jangan sesekali kita mencemarkan institusi pendidikan di negara ini dengan perkara-perkara yang jengkel kerana pendidikan merupakan tali ukur kegemilangan sesebuah tamadun.


Peranan ilmu  pengetahuan sebagai senjata utama tidak dapat dinafikan. Harus diiingat, kemajuan teknologi tidak menghalang ilmu daripada terus berkembang, sebaliknya penghalang sebenar adalah penyalahgunaan ilmu pengetahuan apabila ia diambil dari sumber yang salah dan janganlah tertipu dengan kecanggihan teknologi. Dengan menggunakan teknologi kita akan menjadi semakin bijak bukan menjadi semakin bodoh.


Akhir sekali, pihak yang bertanggungjawab harus peka dengan isu-isu berkaitan ilmu pengetahuan ini dan jangan sesekali membiarkan anasir-anasir luar mencemarkan institusi dan fakulti pemikiran masyarakat dengan dakyah-dakyah terselindung.


Somad Musa

Monday 14 November 2011

Bar Arak Halal

Setelah sebulan dicaci-cerca dan dimaki-hamun oleh 'orang-orang utara' yang bengang dek tajuk entri lepas yang sewenang-wenangkan melabelkan mereka sebagai orang-orang yang bakal ke neraka. Akhirnya, blog ini tampil dengan entri baru. Tapi nak tulis tentang apa ye? Ideaaa!!! Datanglah padaku sayang...

Ermmm... Dah malas dah nak tulis pasal neraka, kali ni kita akan bercerita tentang satu tempat yang lebih menarik, sensasi dan meletoppp iaitu 'Syurga' atau dalam bahasa Inggerisnya disebut sebagai 'Heaven'.

Dengar cerita, di Syurga terdapat bar-bar khas yang menyediakan minuman arak. Betol ke? 

Maka dengan tiba-tiba, seorang kanak-kanak pon bertanya,

"Eh, bar-bar arak tu ada permit ke tak?"
"Kalau pergi bar tu takde penguatkuasa datang cekup ke?"
"Kanak-kanak bawah umur macam saya boleh masuk tak bar tu?"

Eeee.. budak ni! banyak tanya la pulak. Sekeh kepala baru.

Budak itu pon membidas: "dah orang tak tahu, tanya laaa... ni marah-marah mesti sebab tak tahu nak jawab... kan???" 

Amboi mulut takde insuran budak ni, ada ke patut cakap aku tak tahu nak jawab. Aku ni manusia serba tahu tau tak?!!!

Budak: "takbur gila mamat ni... hah, kalau dah pandai sangat tunggu apa lagi... cepat le jawab!"

Errrr... jawapannya... jawapannya... errr...

Jom rujuk ayat ni, (Surah Al-Waqi'ah: 17-19)
Ooo, rupa-rupanya arak tersebut diambil dari sungai yang mengalir kat dalam Syurga tu... Slurrrpppp, mesti lazat kan?

Uihhh, siap ada pelayan-pelayan yang melayan dan menghidangkan arak-arak special itu... best nyerr!

Ohhh, rupa-rupanya arak tersebut tidak memabukkan... Menakjubkan!

Teringin sangat nak rasa arak tu, boleh tak?

Boleh, tapi kena lah masuk Syurga dulu. Tapiii, macamana nak masuk ke Syurga? Ada tiket tak?
Kalau nak ke Syurga kita kenalah beramal dan patuh dengan hukum-hukum Tuhan serta meninggalkan segala tegahan-Nya. Tak gitu?
 p/s: soalan ini --> "Kanak-kanak bawah umur macam saya boleh masuk tak bar tu?" akan dijawab dalam entri akan datang... insya-Allah :)

Sunday 16 October 2011

Orang-orang Utara Ramai ke Neraka?

Oleh: Somad Musa


Neraka merupakan janji Allah bagi mereka-mereka yang membelakangi hukum-hukum-Nya dan destinasi 'bulan madu' bagi mereka-mereka yang melakukan dosa tanpa bertaubat atas kejahatan yang dilakukan itu. Seksaan azab neraka adalah salah satu perkara-perkara ghaib yang wajib diimani seluruh ummat manusia. 

Al-Quran dan Hadis Rasulullah SAW banyak menceritakan tentang gambaran, perihal dan situasi yang akan ditempuhi oleh 'tetamu kehormat' neraka. Keengganan seseorang untuk mengakui tentang kewujudan neraka boleh membawa kepada kekufuran.

Ketibaan 'dif-dif kehormat' ke destinasi 'bulan madu' yang paling hot itu akan disambut oleh penyambut tetamu yang paling 'mesra pelanggan' iaitu Malaikat Malik. 

(boleh rujuk sini untuk mengetahui tugas-tugas lain Malaikat Malik --> KLIK!)

Okey, berbalik pada tajuk entri yang tertera diatas, 'Orang-orang Utara Ramai ke Neraka?'

Pada firasat anda, 

Sejauhmanakah kebenaran tajuk tersebut???

Kenapa pula orang-orang Utara ramai ke neraka???

Kenapa bukan orang-orang Selatan atau orang-orang Pantai Timur???

Bagaimana pula dengan mereka-mereka yang berada di sekitar Lembah Kelang???

Isshhh, Mengarut sungguh tajuk entri ni!
Okey-okey, don't judge the content of this entry by its title...

oppps! sori, terspeaking la pulak

Terlebih dulu jom kita ramai-ramai baca ayat ni,

(Surah Al-Waqi'ah)

Cuba cari maksud perkataan 'الشمال' menggunakan kamus Arab - Melayu. Anda pasti akan menjumpai maksudnya adalah 'utara' atau 'kiri'.

...Eh! Mana satu ni? 

...Utara ke kiri?

...Kiri ke utara? 


Okey, untuk mengetahui perkataan 'الشمال' dalam ayat diatas membawa maksud utara atau kiri, jom kita rujuk beberapa ayat sebelumnya....

Setelah membaca, meneliti dan memahami maksud ayat-ayat sebelum ayat tadi, barulah kita menjumpai maksud sebenar perkataan 'الشمال' tersebut. Ia membawa maksud puak-puak kiri, bukanlah orang-orang utara. Maksud perkataan tersebut dapat diketahui melalui perbezaan baris pada huruf ش.

الشَمال syamal - UTARA
الشِمال syimal - KIRI

Maka, inilah maksud sebenar ayat tersebut,
 
Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan, alang-alang dah tahu maksud  'الشمال', jomlah kita sesama baca surah ni dari mula sampai habis --> Surah Al-Waqi'ah :)

Wassalam.

p/s: orang-orang  Utara jangan marah nooo...

Tuesday 20 September 2011

Teori Evolusi Sebenar: Manusia Adalah Lembu

Oleh: Somad Musa

Teori evolusi
Teori evolusi merupakan salah satu falsafah dokmatik dan bukanlah satu perbahasan mahupun penemuan saintifik. Teori ini merupakan kepercayaan masyarakat purba terhadap asal-usul spesis yang cuba dibangkitkan kembali dan tersebar pada abad ke-19.


Individu yang bertanggungjawab menyebarkan fahaman ini adalah seorang lelaki Inggeris, Charles Robert Darwin. Satu fakta penting yang mungkin ramai orang tidak tahu, Charles Robert Darwin bukanlah seorang saintis dan beliau langsung tidak pernah menerima sebarang pendidikan formal berkaitan biologi. Hakikatnya, beliau hanya sekadar lelaki yang gemar memerhati dan mengkaji kehidupan semula jadi dan benda-benda hidup.


Didorong oleh minat mendalam terhadap alam semula jadi, Darwin telah menyertai satu pasukan pengembaraan berkapal yang diberi nama H.M.S. Beagle. Kapal tersebut berlayar dari England dan melepasi pelbagai rantau selama 5 tahun.


Darwin telah tertarik dengan pelbagai spesis kehidupan antaranya keunikan burung-burung yang berkicau dan menyanyi dengan paruh tajam yang luas dan singkat yang wujud di Kepulauan Galapagos. Dia menyangka kebolehan burung-burung tersebut menyanyi disebabkan adaptasi terhadap habitat mereka. Dengan ini, beliau membuat andaian bahawa asal-usul kehidupan dan spesies-spesies berpaksikan konsep 'penyesuaian kepada persekitaran dan iklim’.


Darwin berpandangan bahawa Tuhan tidak menjadikan setiap spesis secara individu, sebaliknya spesis-spesis tersebut terhasil daripada tindak balas baka tunggal terhadap pengaruh dan faktor semula jadi dan iklim. 


Teori Darwin langsung tidak bertunjangkan sebarang kajian saintifik mahupun penyelidikan, bahkan seperti yang kita sedia maklum beliau bukanlah seorang saintis dan langsung tidak mempunyai latar belakang sains. Darwin oh Darwin, kenapalah kau nak tunjuk terror???!


Dengan kebodohan yang dipamerkan oleh Darwin, maka terhasillah sebuah buku yang berjudul ‘The Origin of Species: By Means of Natural Selection’ pada tahun 1859. 


Darwin ni pandai menulis rupanya. Dalam buku tersebut, Darwin berpendapat bahawa manusia terjadi hasil tindak balas baka induk (bukan manusia) terhadap pengaruh alam sekeliling, bukanlah berasal daripada Nabi Adam A.S. 




Maka ramailah sarjana-sarjana Barat yang menyembah buku yang diconteng oleh Darwin tersebut sehinggalah teori tersebut dijadikan fakta dalam buku-buku sains dan sebagainya.


Maka dengan ini, terciptalah teori bahawa manusia berasal dari BERUK.
.......................................................................
Okey, kita lupakan sejenak teori evolusi Darwin yang mengarut sewel tu.
Sekarang, tanpa segan silunya, saya ingin memperkenalkan satu teori evolusi terbaru.



Sebenarnya, manusia bukanlah BERUK... tapi LEMBU...
...Kenapa???!



Begini, manusia bukanlah berasal dari LEMBU, tapi manusia akan bertukar menjadi LEMBU.
 Tak percaya???! 



Nah! Ini buktinya... [Al-A’raf: 179]



‘Lembu-lembu’ tersebut adalah mereka-mereka yang mempunyai hati tapi enggan untuk memahami ayat-ayat Allah, mempunyai mata tapi enggan melihat bukti keesaan Allah, mempunyai telinga tapi enggan mendengar nasihat yang diberikan.


Harap-harap lembu-lembu hakiki yang sedang meragut rumput kat padang tak tersedak bila nama mereka terpampang disini. Haha..

Thursday 1 September 2011

SABAR: Kunci khusyuk ketika SOLAT

Oleh: Somad Musa

Sungguh pantas jarum jam berpusing. Rupa-rupanya hari ni dah raya ketiga. 

Pengisian raya tahun ni sederhana sahaja. Tapi agak berbeza dengan raya tahun lepas & tahun sebelomnya. 

Sebab... Tahun ni semua adik-beradik ada. Kakak yang dah 3 tahun tak beraya bersama pon balik. Syukur.

Oh ya. Actually entri ni bukanlah nak bercerita tentang kuih raya, duit raya, ketupat mahupon rendang. 

...kat atas tu intro je

Ini ceritanya...
Semalam menghadiri open house salah seorang sahabat. Nasri Cleverly namanya. Lepas makan kenyang-kenyang, tibalah masa untuk pulang.

Azhar. Salah sorang sahabat tumpang kereta aku. So, aku perlu hantar Azhar terlebih dahulu sebelom pulang ke rumah.

Sepanjang perjalanan bersama Azhar. Kami terlalu asyik berdiskusi mengenai persoalan-persoalan agama. 

Malas la aku nak cerita tentang apa yang kami bincangkan. Cuma. Aku tertarik dengan apa yang Azhar cakap mengenai solat.

Menurut Azhar,
Hanya orang-orang yang sabar saja yang akan setia dengan solat. Kenapa ya? Dalam Al-Quran pon Allah ada mengaitkan perihal solat dan kesabaran. Sepertimana firman-Nya dalam Surah Al-Baqarah ayat 45:


Bila bercakap tentang semua ni, aku rasa tersindir...

Mungkin kerana aku tidak setia dengan solat aku?
Atau mungkin juga aku bukan seorang yang penyabar? 

*entri ini berakhir dengan tanda tanya...

Tuesday 30 August 2011

'Tuhan tertinggi' yang telah binasa...

Oleh: Somad Musa

Ini adalah sebuah kisah mengenai 'Tuhan tertinggi',

Siapakah 'Tuhan tertinggi' itu?

Tinggi sangatkah?

***

Dialah 'Tuhan' yang paling kufur. 

Dialah 'Tuhan' yang paling angkuh,

Dialah 'Tuhan' yang paling zalim,


***

Dia pernah diajak ke jalan 'Tuhan  yang sebenar',

Namun dia tetap mengaku dengan angkuhnya,

Bahawa sesungguhnya dialah 'Tuhan yang sebenar' itu


*** 

Bahkan telah tercatat dalam buku 'Tuhan yang sebenar-benarnya'

Dihadapan anak-anak Nil seraya dia berkata,


Fir'aun namanya,

Dia telah tenggelam bersama kekufuran-nya,

Binasalah 'Tuhan' yang perasan dirinya tinggi itu...

 psstttt... jom kita baca Surah An-Nazi'at sama-sama...

Friday 26 August 2011

Demi Allah tidak beriman!

Oleh: Somad Musa

 عن أبي هريرة رضى الله عنه قال
قال رسول الله صلى الله عليه وسلم

والله لايؤمن، والله لايؤمن، والله لا يؤمن
قيل: من يا رسول الله؟
   قال: الذي لا يأمن جاره بوائقه 

Demi Allah tidak beriman, demi Allah tidak beriman, demi Allah tidak beriman. 

Maka seorang lelaki pon bertanya: Siapakah itu wahai Rasulullah? 

Rasulullah menjawab: 
"Orang-orang yang tidak memberikan rasa keamanan kepada jiran-jirannya disebabkan kejahatannya."

Wednesday 24 August 2011

Anda sangat-sangat bodoh sekiranya...

Oleh: Somad Musa


العلم بلا عمل كالشجر بلا ثمر
Ilmu tanpa amal ibarat pokok yang tidak berbuah.
Pepatah Arab yang seringkali disebut apabila berbicara tentang kelebihan ilmu pengetahuan. 

Apa kena mengena pepatah ni dengan Somad?

Pepatah ni memang takde kena mengena dengan Somad, tapi hari ni Somad akan menulis mengenai kepentingan beramal dengan ilmu kita miliki.

Berbalik kepada pepatah diatas, orang yang berilmu diibaratkan umpama pokok yang tidak bisa berbuah sekiranya dia tidak mengamalkan ilmu yang dimilikinya. 

Okey-okey, mesti korang akan cakap...  

"weiii Somad, pokok bunga ros tak berbuah pon... tapi kat kedai orang jual sampai berpuluh-puluh ringgit sekuntum... tak bernilai ke tu???!"

Berdasarkan statement korang di atas, orang-orang yang tak beramal dengan ilmu yang dimiliki pon bernilai jugak la? Sama macam bunga ros!

Erm... macam mana nak bidas ni... ermmm... ce fikir... ce fikir...

Cuba korang jawab beberapa persoalan dibawah:

"kenapa manusia menanam pokok durian?"
"kenapa manusia menanam  pokok bunga ros?"
"kenapa manusia menanam pokok getah?"
"kenapa manusia menanam pokok semambu?"

Mungkin ini yang korang akan jawab:

- "Manusia menanam pokok durian untuk mendapatkan buah durian... sodappp ooo..."
- "Manusia menanam pokok ros untuk menghiasi halaman rumah & sebagainya... bunga ros cantik..."
- "Manusia menanam pokok getah untuk mendapatkan susu getah yang berkomersial tinggi..."
- "Manusia menanam pokok semambu untuk dijadikan tempat berteduh... pokok semambu berdahan rimbun..."
Dan, cuba korang bayangkan sekiranya:

- pokok durian tidak mengeluarkan buah...
- pokok ros tidak berbunga...
-pokok getah tidak menghasilkan susu...
-pokok semambu tidak berdahan rimbun...

Lantaran itu, adakah objektif kita menanam pokok-pokok diatas tercapai???!

- adakah pokok durian yang tidak berbuah bermanfaat bagi kita?
- adakah pokok ros yang tidak berbunga akan kelihatan cantik?
- adakah pokok getah yang tidak menghasilkan susu berkomersial tinggi?
- adakah pokok semambu yang tidak berdaun lebat boleh dijadikan tempat berteduh?

haaa... jawab... jangan tak jawab...

Sekiranya kita tidak beramal dengan ilmu yang dimiliki, secara total~nya kita akan diibaratkan seperti pokok-pokok yang aneh diatas. 

Sesungguhnya Allah menjanjikan kedudukan yang tinggi bagi orang-orang yang berilmu. Orang yang mempunyai ilmu tidak beerti orang itu berilmu... selagi dia tidak beramal dengan ilmu yang dimilikinya...

Firman Allah SWT dalam Surah Al-Mujadalah ayat 11:


Dan... dalam Surah Az-Zumar ayat 9, Allah bertanyakan kepada kita:


So, apa jawapannya??? ce jawab... ce jawab...

Okey... entri ini akan berakhir disini... jumpa lagi di entri berikutnya... 
Assalamualaikum... wbt