Wednesday 29 January 2014

Kasih Sayang Itu Amat Menyakitkan

Suatu hari di dalam sebuah kelas yang dihuni oleh murid-murid tahun 3.


"Siapa yang tidak siap kerja rumah atau terlupa membawa buku sila berdiri." Kata seorang guru lelaki yang berbadan gempal.

Maka beberapa orang murid pun berdiri dengan wajah yang tadinya tenang tiba-tiba bertukar menjadi cuak.

"Kenapa tak bawa buku?" Soal guru dengan wajah bengis ditambah pula dengan nada ngeri.

"Saya terlupa." Jawapan yang ringkas tetapi padat. Diikuti dengan bunyi 'pappp', pembaris kayu berwarna kuning menghinggap di bontot murid lelaki tersebut.

Murid tersebut menangis dan berlalu mendapatkan kerusinya untuk duduk. Murid-murid lain menunggu giliran masing-masing.

BEBERAPA HARI KEMUDIAN...

Guru memasuki kelas yang sama dan mengajukan soalan yang sama dan masih mendapat reaksi yang sama beserta jawapan yang sama "LUPA".

Guru perasan ada seorang pelajar yang berdiri dengan muka cuak jelas kelihatan.

"Kenapa?" Tanya guru.

"Sa.. sa.. saya..  baru sebentar tadi saya dapat jadual baru".
Ya, memang benar, jadual baru mula berkuatkuasa beberapa hari yang lepas.

Guru bertanya, "Kenapa baru hari ni kamu dapat jadual baru?"

"Saya tidak hadir ke sekolah selama 3 hari, saya demam."

"Ok, kamu boleh duduk." Balas guru lantas menyoal murid-murid lain diikuti dengan bunyi yang terhasil apabila pembaris kuning panjang menyentuh bontot mereka.

Tiba-tiba guru terpandang murid yang demam tiga hari tadi dan teringat, bukankah murid tersebut yang menangis teresak-esak kerana tidak membawa buku pada minggu lepas.

Guru menyoal tanpa berselindung,
"Kamu demam sebab kena rotan dengan saya?"

Kejujuran kanak-kanak memang tidak dapat diduga,
"YA" diikuti dengan tangisan seperti minggu lepas.

Guru tersebut tersenyum tanpa sebarang rasa kesal sambil memanggil murid tersebut tampil ke depan.
"Kamu tahu kenapa saya rotan kamu?"
Geleng.

"Saya rotan kamu sebab saya sayang kamu. Kamu tahu tak saya sayang kamu?"
Geleng.

Guru lantas memeluk murid tersebut sambil berbisik kepadanya,
"Ok, sekarang saya nak kamu tahu bahawa saya amat sayangkan kamu."

 Tidak pasti sama ada murid tersebut faham atau tidak apa itu erti sayang.
Atau mungkin juga murid tersebut menyoal di dalam hati kecilnya,

"Adakah guru akan merotan aku setiap kali dia merasa sayang terhadap aku? Jika benar begitu, baru aku sedar bahawa kasih sayang itu amat menyakitkan!"

Saturday 24 August 2013

Teori Evolusi Sebenar IV: Manusia Adalah Biawak

"Ingatkah apa yang kau janjikan
  Bila lahir ke dunia
  Kau berjanji taat pada-Nya"

Lirik yang menjadi siulan anak-anak muda pada tahun 80-an. Lagu Manusia dan Janji nyanyian kumpulan rock Bloodshed menceritakan tentang sikap manusia iaitu pelupa. Lupa luas cabangnya. Tetapi titik fokusnya ialah lupa pada janji. 

Hal ini bukan perkara baharu, malah seringkali dan sentiasa berlaku. Kan? Hahhh! Dah lupa?!

Kebiasaannya, manusia berjanji tatkala mereka terlalu sangap untuk mendapatkan sesuatu benda. Harta, peluang, pangkat, cinta atau sebagainya. 15,000,000,000 kilogram janji dipertaruhkan. Persoalannya, apabila kehendak sudah dipenuhi, adakah janji akan dikotakan? Garu kepala.

Allah merakamkan dalam Al-Quran tentang ragam manusia. Diceritakan dalam Surah Al-A'raf ayat 172:


Maksudnya: Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun-temurun) dari (tulang) belakang mereka, dan Ia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil Ia bertanya dengan firmanNya): "Bukankah Aku tuhan kamu?" Mereka semua menjawab: "Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi". Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: "Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini".

Itulah janji manis yang telah ditaburkan oleh manusia kepada Tuhan mereka sebelum diciptakan. Mereka mengaku bahawa Allah adalah Tuhan mereka yang satu-satunya layak disembah. Mereka berjanji akan patuh segala perintah Tuhan mereka. Tetapi setelah diciptakan, setelah ditiupkan roh ke dalam jasad, adakah janji manis itu dikotakan? Tepuk dada. Ya, tepuk dada anda kemudian tanya pada diri sendiri, 'adakah aku telah kotakan janji itu?'

Jika ya, Alhamdulillah.
Jika tidak, ?????????

Tidak mengapa, masih belum terlambat, usaha lagi dan lagi untuk kotakan janji tersebut, selagi nyawa dikandung badan.

Contoh yang sangat nyata, berdasarkan pengamatan dan pengalaman diri sendiri. Apabila menghadiri sebarang temuduga misalnya temuduga kerja, kita memberikan segunung janji dan harapan kepada majikan supaya menerima kita bekerja disitu, Tetapi apabila sudah diterima, kita menjadi lupa diri dan lupa janji. Merungut, merungut, merungut, merungut, merungut dan akhirnya hasil kerja tiada kualiti. Kenapa masa temuduga dulu kita cakap kita boleh buat semua benda? Kitalah superhero yang sedia berkhidmat 24 jam LILLAHI TAALA! Tetapi akhirnya apa yang berlaku? kah kah kah gelak lahhh... gelak pada diri sendiri... :-P

Lidah bercabang. Itulalah gelaran yang diberikan kepada orang yang suka berbohong atau tidak mengotakan janji. Binatang apa yang lidah bercabang? Nah, sebenarnya manusia yang tidak mengotakan janji adalah biawak. Sekian harap maklum. Huk huk huk. Tersedak biawak.

Sekadar gambar hiasan.