Sunday 18 December 2011

Tetralogi Lembu (Bahagian 2)

LEMBU SATU
‘ LEMBU-LEMBU AL-QURAN’

Peranan besar lembu dalam kehidupan manusia sememangnya tidak dapat dinafikan lagi. Malah, lembu merupakan antara haiwan yang paling kerap disebut dalam Al-Quran. Lebih menakjubkan apabila lembu turut dikaitkan dengan kisah tiga orang nabi sepertimana diceritakan oleh Allah S.W.T. di dalam Al-Quran.

1- Kisah Nabi Ibrahim dan Anak Lembu Panggang    

Dalam Surah Hud ayat 69 hingga 71, Allah telah menceritakan kepada kita tentang peristiwa yang berlaku ke atas nabi Ibrahim dan isteri baginda, Siti Sarah. Mereka telah didatangi oleh dua malaikat lalu mereka menghidangkan ‘seekor anak lembu panggang’ kepada dua malaikat tersebut.

69 - Dan sesungguhnya telah datang malaikat utusan-utusan kami kepada Nabi Ibrahim, dengan membawa berita yang mengembirakan. Lalu mereka memberi salam dengan berkata:
 “Salam sejahtera kepadamu (wahai Ibrahim).”Nabi Ibrahim menjawab: “Salam sejahtera kepada kamu.”
Lalu Ibrahim menghidang seekor anak lembu panggang kepada malaikat-malaikat itu.

70 - Apabila dia melihat tangan mereka tidak menyentuh hidangan itu, dia merasa pelik dan akan keadaan mereka. (Melihat kecemasannya) mereka berkata: “Janganlah engkau takut wahai Ibrahim, sebenarnya kami ini diutus kepada kaum Lut (untuk membinasakan mereka).”

71 - Dan isterinya (Sarah) pada ketika itu mendengar, lalu dia ketawa kerana hilang perasaan takutnya. Maka Kami pun memberikan berita yang mengembirakan kepadanya melalui malaikat itu, bahawa ia akan mendapat seorang anak iaitu Ishak, dan sesudah Ishak dia pula akan mendapat seorang cucu Yaakub. 


2- Kisah Nabi Yusuf dan Empat Belas Ekor Lembu 
  
Nabi Yusuf adalah merupakan antara nabi-nabi yang paling banyak diuji sepanjang hidup baginda. Kisah nabi Yusuf telah dimuatkan dalam Al-Quran bahkan meliputi kisahnya dari kecil hinggalah dewasa. Salah satu surah telah dinamakan sempena nama baginda iaitu ‘Surah Yusuf’.

Nabi Yusuf telah dikurniakan satu mukjizat yang cukup besar dalam hidup baginda iaitu kebolehan mentafsir mimpi. Pada suatu hari, Raja Mesir bermimpi melihat tujuh ekor lembu gemuk telah memakan tujuh ekor lembu kurus. 

Beliau menjadi bimbang memikirkan tentang petanda mimpi tersebut lalu memerintahkan pembesar-pembesarnya supaya mentafsir mimpi tersebut. Tiada seorang pun yang berkebolehan mentafsir mimpi, lalu salah seorang pembesar mencadangkan agar mimpi tersebut dirujuk kepada nabi Yusuf. Sebagaimana firman Allah dalam Surah Yusuf dari ayat 43 hingga 48.

43 - Dan pada suatu hari raja Mesir berkata: “Sesungguhnya aku mimpi melihat tujuh ekor lembu yang gemuk dimakan oleh tujuh ekor lembu yang kurus, dan aku melihat tujuh tangkai biji-bijian yang hijau dan tujuh tangkai lagi yang kering. Wahai ketua-ketua kaum yang hadir, terangkanlah kepadaku tentang mimpiku ini, kalau kamu orang yang pandai menafsirkan mimpi”.

44 - Mereka menjawab: “Yang demikian itu ialah mimpi-mimpi yang bercampur aduk, dan kami bukanlah orang-orang yang mengetahui mimpi-mimpi (yang sedemikian) itu”.

45 - Dan (pada saat itu) berkatalah orang yang terselamat di antara mereka yang berdua itu, dan yang baharu mengingati (akan pesanan Yusuf) sesudah berlalu suatu masa yang lanjut: “Aku akan memberi tahu kepada kamu tafsirannya. Oleh itu hantarkanlah daku pergi (kepada orang yang mengetahui tafsirannya)” .

46 - (Setelah ia berjumpa dengan Yusuf, berkatalah ia): “Yusuf, Wahai orang yang benar (pada segala-galanya)! tafsirkanlah kepada kami (seorang bermimpi melihat): tujuh ekor lembu yang gemuk dimakan oleh tujuh ekor lembu yang kurus; dan tujuh tangkai (biji-bijian) yang hijau serta tujuh tangkai lagi yang kering; (tafsirkanlah) supaya aku kembali kepada orang-orang yang mengutusku itu, semoga mereka dapat mengetahui tafsirannya”.

47 - Yusuf menjawab: “Hendaklah kamu menanam bersungguh-sungguh tujuh tahun berturut-turut, kemudian apa yang kamu ketam biarkanlah dia pada tangkai-tangkainya, kecuali sedikit dari bahagian yang kamu jadikan untuk makan. 

48 - Kemudian akan datang selepas tempoh itu, tujuh tahun kemarau yang dashyat, yang akan menghabiskan makanan yang kamu sediakan baginya; kecuali sedikit dari apa yang kamu simpan (untuk dijadikan benih). 

3- Kisah Nabi Musa dan Dua Lembu 

Nabi Musa telah diuji dengan dua perkara melibatkan lembu:

Pertama: Sebuah patung anak lembu yang dibuat dan disembah oleh kaumnya ketika baginda menemujanji dengan Tuhan selama empat puluh malam.
                              
Kedua: Nabi Musa telah menyampaikan perintah Tuhan supaya kaumnya mengorbankan seekor lembu bagi mendapatkan jawapan kepada misteri pembunuhan seorang lelaki. Kaumnya mengemukakan pertanyaan yang banyak mengenai lembu itu, tetapi akhirnya, setelah hampir tidak melakukannya, mereka mengorbankan seekor lembu yang tidak tua dan tidak juga dara, yang keemasan, terang warnanya, dan yang belum pernah dipakai untuk membajak bumi, atau untuk mengairi tanaman tetapi teguh, dengan tanpa sebarang tanda yang cacat padanya.

...nantikan bahagian 3

No comments: