Tuesday 6 December 2011

Sistem Pendidikan Kita di Ambang Sakaratul Maut

Pendahuluan
Pendidikan merupakan proses berterusan yang diperlukan oleh setiap manusia yang bernyawa. Proses pendidikan bermula sejak manusia dilahirkan dan ibu bapa adalah pendidik pertama kepada anak-anak mereka sepertimana sabda Rasulullah SAW:


كل مولود يولد على الفطرة فأبواه يهودانه أو ينصرانه أو يمجسانه


Maksudnya: “Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah. Maka kedua ibu bapanyalah yang menjadikan dia Yahudi, Nasrani atau Majusi.” (Riwayat Al-Bukhari)


Namun, peningkatan usia anak-anak mendorong ibu bapa menghantar anak-anak mereka untuk mendapatkan pendidikan secara formal di sekolah. 


Guru-guru di sekolah merupakan ibu bapa kedua kepada anak-anak. Bahkan segala perkataan yang keluar dari mulut guru akan dipegang oleh anak-anak kerana bagi mereka guru adalah insan yang hebat.


Apabila melangkau ke usia belasan tahun, perangai dan sikap anak-anak tadi akan berubah dek transformasi mereka ke usia remaja. Dunia remaja adalah permulaan bagi manusia mengenal dunia. Pada usia ini, rakan-rakan sebaya merupakan insan paling berpengaruh dalam diri remaja.


Persoalannya sekarang, adalah perkembangan ilmu dan pengetahuan remaja seiring dengan perkembangan usia dan jasmani mereka?


Institusi Sekolah dan Peranan Guru
Institusi persekolahan merupakan institusi pendidikan formal yang berperanan mendidik pelajar-pelajar dengan ilmu pengetahuan dan membentuk jati diri pelajar dengan akhlak yang baik. Pembentukan jati diri dan akhlak yang seimbang mampu mengawal para pelajar dari terjerumus dan terjebak dengan anasir-anasir jahat di sekeliling mereka.


Sistem pendidikan disekolah diseragamkan dengan satu kurikulum yang di bentuk oleh Kementerian Pelajaran supaya semua pelajar mendapat hak pendidikan yang sama rata. 


Jika dilihat dengan mata kasar, sistem penyelerasan kurikulum ini merupakan langkah yang baik bagi mewujudkan integrasi antara pelajar, guru dan ibu bapa memandangkan Malaysia merupakan sebuah negara berbilang kaum.


Namun, jika diamati dengan mata halus, sistem pendidikan yang sedia ada di negara kita pada masa kini banyak menyumbang kepada keruntuhan intelektual dan pemikiran para pelajar khususnya dan masyarakat amnya. Terdapat banyak kepincangan dan kecelaruan yang berlaku dalam sistem pendidikan di negara ini dan hal ini sedikit sebanyak telah menyumbang kepada kejatuhan institusi keilmuan dan pendidikan.


Antara kepincangan yang ketara berlaku ialah pendidikan berorientasikan peperiksaan, kesempitan silibus subjek Pendidikan Islam di sekolah, teknologi dan internet sebagai medium untuk mendapatkan ilmu pengetahuan dan guru tidak terlatih.


Pendidikan Berorientasikan Peperiksaan
Pendidikan berorientasikan peperiksaan merupakan salah satu isu yang seringkali dibincangkan oleh ahli-ahli akademik mahupun organisasi yang prihatin dengan sistem pendidikan yang sedia ada di negara ini.


Sistem pendidikan di negara ini merupakan pendidikan acuan Barat memandangkan peranan besar mereka sebagai pelopor dalam membentuk sistem pendidikan yang teratur di negara ini sebelum mencapai kemerdekaan.


Jika dilihat dari sudut positif, sistem pendidikan berorientasikan peperiksaan merupakan pendekatan yang mampu mengekalkan disiplin ilmu. Melalui sistem ini, pelajar hanya ditekankan dengan pembelajaran dalam bilik darjah kerana semua benda akan disuap ke dalam mulut mereka oleh guru.


Buku teks dijadikan rujukan utama dan pelajar hanya diterapkan dengan kemahiran membaca tanpa melibatkan proses memikir. Soalan-soalan latihan yang terdapat dalam buku teks juga tidak sedikit pun tercicir daripada isi kandungan buku teks. Oleh itu, pelajar-pelajar tidak perlu memerah otak mereka untuk berfikir kerana mereka hanya perlu mencari jawapan yang terdapat dalam buku teks tersebut semata-mata.


Pengukurnya amat mudah, pelajar yang dapat menjawab paling banyak soalan dengan betul akan memperoleh skor tertinggi dan pelajar yang gagal memperoleh skor yang tinggi akan dianggap sebagai pelajar lemah.


Bahkan, perkara yang sama berlaku dalam peperiksaan umum yang diduduki oleh pelajar-pelajar. Misalnya, calon UPSR yang memperoleh 5A akan dianggap sebagai pelajar cemerlang. Begitu juga dengan dengan pelajar yang memperoleh keputusan 4A 1B. Tapi bagaimana pula dengan pelajar yang memperoleh keputusan 4A 1D?


Secara automatik, pelajar tersebut akan dilabel sebagai pelajar yang gagal. Tidakkah anda melihat sistem pendidikan berorientasikan peperiksaan ini satu sistem yang jumud dan perlu dihapuskan?


Kerajaan sepatutnya mewujudkan sistem pendidikan yang mampu menggalakkan pelajar berfikir secara rasional, kreatif dan kritis. Bukan bermaksud pelajar diberi kebebasan sepenuhnya untuk berfikir, sebaliknya kurikulum yang sedia ada patut diterapkan dengan material-material yang mampu mengajak pelajar supaya berfikir dengan kreatif dan kritis.


Sekiranya pelajar tidak dilatih dengan kemahiran berfikir, mereka akan selama-lamanya menjadi malas untuk berfikir dan hanya mengharapkan buah pemikiran orang lain. Sekiranya perkara ini tidak dibendung, tidak mustahillah rakyat Malaysia akan terus kekal sebagai rakyat yang bermentaliti kelas ketiga.


Kesempitan Silibus Subjek Pendidikan Islam di Sekolah
Malaysia merupakan sebuah negara Islam yang menjadikan ajaran Mazhab Syafie sebagai sebagai wadah rujukan rasmi dalam soal keagamaan terutamanya yang melibatkan hukum-hakam dan Fiqh. Disamping itu, ajaran Mazhab Syafie juga dijadikan sumber asasi dalam sukatan subjek Pendidikan Islam di sekolah.


Untuk kesan jangka pendek, penggunaan Mazhab Syafie sebagai sukatan subjek Pendidikan Islam di sekolah merupakan satu langkah baik iaitu supaya pelajar tidak terkeliru dengan hukum-hakam yang dipelajari dan mereka akan mendapat asas yang kukuh tentang pengetahuan ilmu agama.


Namun, untuk kesan jangka panjang, penggunaan Mazhab Syafie semata-mata dalam sukatan subjek Pendidikan Islam di sekolah akan  menyumbang kepada perpecahan belahan umat Islam di negara ini dek percanggahan pendapat berkaitan isu-isu agama.


Mungkin ada yang beranggapan, universiti merupakan tempat terbaik untuk mempelajari kepelbagaian mazhab yang terdapat dalam ajaran Islam. Namun, jika difikirkan secara logik, berapa peratuskan bilangan pelajar yang meneruskan pengajian di universiti dalam bidang agama berbanding pelajar-pelajar yang mengambil jurusan-jurusan di luar bidang keagamaan.


Hal ini menjadi semakin parah apabila wujud segelintir pihak yang gemar memurtad dan mengkafirkan orang-orang yang tidak sealiran pandangan dengan mereka. Adakah ini satu perkembangan positif yang patut digembirakan?


Puncanya hanya satu, Penggunaan Mazhab Syafie sebagai satu-satunya rujukan bagi subjek Pendidikan Islam di sekolah.


Teknologi dan Internet dalam Pendidikan
Di era teknologi yang serba canggih ini, penggunaan alat-alat teknologi seperti computer, internet, jalur lebar dan sebagainya sebagai wadah pendidikan semakin meluas. Perkembangan ini seiring dengan kehendak kemajuan negara yang memerlukan penambahbaikan sistem pendidikan sedia ada.


Sebut sajalah apa yang anda inginkan, semuanya akan diperolehi hanya di hujung jari. Namun, persoalannya sekarang, sejauhmanakah relevannya sumber-sumber dari internet dijadikan bahan rujukan ilmu utama bagi pelajar terutamanya pelajar-pelajar universiti?


Perkembangan teknologi internet merupakan satu anjakan yang sangat mengagumkan, namun cara manusia memanfaatkan kemudahan ini perlu dipersoal.


Antara gejala kurang sihat yang sangat serius berlaku dalam masyarakat pelajar pada hari ini ialah budaya ‘Copy’ dan ‘Paste’ bahan rujukan dari internet secara bulat-bulat untuk dijadikan bahan ilmu mahupun untuk menyiapkan tugasan yang diberikan oleh pensyarah.


Pengambilan bahan-bahan internet secara mentah tanpa mengesahkan terlebih dahulu kesahihannya merupakan salah satu faktor yang akan menyumbang kepada keruntuhan fakulti ilmu pengetahuan dan ketamadunan manusia.


Hal ini menjadi semakin parah apabila terdapat segelintir individu mahupun kumpulan yang gemar memuat-naik video-video berkaitan keagamaan di ‘YouTube’ dan video tersebut ditonton oleh segenap lapisan masyarakat. Tanpa kita sedar, mereka sebenarnya adalah orang-orang yang jahil yang cuba menjadikan agama sebagai batu loncatan untuk mengaut keuntungan.


Oleh itu, penggunaan internet sebagai medium pendidikan perlu diperhalusi agar kesucian ajaran Islam dapat dipelihara seterusnya kesucian fakulti ilmu pengetahuan dapat dikekalkan.


Guru-guru Tidak Terlatih
Guru tidak terlatih bermaksud guru-guru yang tidak mengikuti kursus atau bimbingan khas untuk subjek yang diajar olehnya di sekolah. Kebanyakan guru tidak terlatih ini terdiri dari graduan-graduan yang gagal mendapat pekerjaan setelah tamat pengajian dan menjadikan kerjaya guru sebagai pilihan terakhir. Jadi mereka memohon untuk mengisi jawatan kekosongan guru di sekolah-sekolah yang memerlukan.


Pihak sekolah akan menawarkan jawatan tersebut kepada sesiapa sahaja yang memohon tanpa mengambil kira latar belakang pendidikan dan pengetahuan asas bagi subjek yang akan diajar. Misalnya, seorang graduan jurusan kejuruteraan mungkin ditugaskan untuk mengajar subjek Pendidikan Islam atau pelajar lepasan STPM disuruh untuk mengajar subjek Matematik.


Lihatlah betapa pincangnya sistem pendidikan di negara ini dan jika tidak dibendung mungkin satu hari nanti warga Bangladesh yang bekerja di pam-pam minyak turut diterima sebagai guru tidak terlatih di negara ini. Mudah-mudahan perkara ini tidak akan berlaku.


Penutup
Sistem pendidikan merupakan asas kepada kemajuan sesebuah negara. Rakyat yang berilmu diukur melalui sejauhmana kemampuannya berfikir secara rasional, kreatif dan kritis. Jangan sesekali kita mencemarkan institusi pendidikan di negara ini dengan perkara-perkara yang jengkel kerana pendidikan merupakan tali ukur kegemilangan sesebuah tamadun.


Peranan ilmu  pengetahuan sebagai senjata utama tidak dapat dinafikan. Harus diiingat, kemajuan teknologi tidak menghalang ilmu daripada terus berkembang, sebaliknya penghalang sebenar adalah penyalahgunaan ilmu pengetahuan apabila ia diambil dari sumber yang salah dan janganlah tertipu dengan kecanggihan teknologi. Dengan menggunakan teknologi kita akan menjadi semakin bijak bukan menjadi semakin bodoh.


Akhir sekali, pihak yang bertanggungjawab harus peka dengan isu-isu berkaitan ilmu pengetahuan ini dan jangan sesekali membiarkan anasir-anasir luar mencemarkan institusi dan fakulti pemikiran masyarakat dengan dakyah-dakyah terselindung.


Somad Musa

2 comments:

Anonymous said...

Like :)

Nurizyani said...

pjgnyerrr... =P